Selasa, 31 Mac 2009

10 Perkara Dibenci Wanita

Kebanyakan lelaki tidak sedar bahawa ada perbuatan mereka dibenci oleh kaum wanita.
KEBANYAKAN lelaki selalu menyalahkan wanita apabila wanita kerap merajuk dan marah tanpa mengetahui apakah puncanya. Kerap kali apabila timbulnya masalah sikap wanita yang dikatakan mengada-ngada, itu menjadi punca pertengkaran.
Namun, lelaki tidak sedar ada perbuatan mereka yang dibenci oleh kaum wanita. Justeru, apa kata lelaki meneliti beberapa perbuatan-perbuatan yang sering dilakukan tanpa kesedaran mereka.

1. Panas baran
Pantang silap sikit, pasti pelbagai kata-kata kesat dihamburkan. Tidak cukup dengan kata-kata kesat, kadangkala tangan lelaki panas baran ini juga pantas menampar atau mencekik leher kekasih bagi menunjukkan mereka ini kuat dan berkuasa.
Perbuatan lelaki sebegini akan membuatkan wanita benci dan fobia. Bagi sesetengah wanita yang terlalu menyayangi pasangan, mereka terpaksa berendam air mata dan membiarkan hidup menderita. Lama kelamaan wanita ini akan hidup dalam keadaan tertekan dan boleh menyebabkan kemurungan.

2. Mengongkong
Segala gerak-geri kekasih dikawal. Hendak keluar berhibur dengan teman-teman pun tidak boleh. Sampaikan dari segi berpakaian pun perlu mengikut segala yang diinginkan mereka. Tetapi, mereka akan melenting pula sekiranya aktiviti-aktiviti mereka disoal siasat oleh kekasih mereka. Mulalah dituduh psiko dan queen control.

3. Ego
Ini adalah perbuatan yang paling ketara bagi kaum lelaki. Apabila berlaku pergaduhan, wanita selalu dipersalahkan. Kadangkala, marahnya sudah hilang tetapi ego punya pasal sanggup mendiamkan diri tidak menelefon kekasih semata-mata ingin dipujuk. Ada sesetengah lelaki pula, kerana terlalu ego sanggup menunggu wanita mengajak keluar dahulu daripada mereka sendiri mengajaknya. Tidak salah mempamerkan ego, tetapi biarlah kena pada tempatnya.

4. Suka “cuci mata”
Kebanyakan lelaki sukar untuk mengawal mata mereka (mata keranjang). Walaupun sudah dikurniakan teman wanita yang cantik, tetapi masih lagi ingin memandang wanita lain. Pandang sekali sudahlah. Ini tidak. Kadangkala, sampai terpusing kepala lelaki mata keranjang ini memandang wanita lain.

5. Main kayu tiga
Ini adalah perkara yang paling dibenci oleh setiap wanita. Pantang digoda dengan wanita lain, terus hanyut. Ada juga lelaki yang pantang melihat perempuan cantik, pasti dijadikan senarai ‘teman tapi mesra’. Ada juga yang sanggup keluar dengan wanita lain walaupun sudah mempunyai kekasih.
6. Tidak sensitif perasaan wanita
Lelaki kadangkala suka bertindak sambil lewa dan kurang memberikan perhatian kepada kekasihnya, lebih-lebih lagi apabila melibatkan perasaan wanita. Tetapi jika bersangkut paut mengenai diri sendiri, keluarga dan kawan-kawan, mereka begitu memahami dan mengambil berat. Sebenarnya, wanita bukanlah terlalu sensitif atau terlalu manja. Cukuplah sekadar teman lelaki menjaga hati mereka dahulu sebelum menjaga hati orang lain, lebih-lebih lagi jika wanita itu bakal menjadi isterinya kelak.

7. Pentingkan kawan-kawan
Sanggup membatalkan temu janji semata-mata ingin menonton bola sepak atau diajak melepak oleh kawan-kawan lelaki. Sesetengah lelaki selalu mementingkan kawan-kawan dalam segala hal. Kalau ada apa-apa masalah di tempat kerja atau apa urusan sekalipun, mereka yang mementingkan kawan-kawan sanggup mengadu dengan alasan tidak sesuai bercerita dengan kekasih. Wanita akan lebih menyayangi pasangannya jika mereka lebih dihargai.

8. Tidak tahu menghargai
Sukar untuk bertemu lelaki yang tahu menghargai perasaan atau pun perbuatan kekasihnya. Ada pula yang berpura-pura tidak mengambil tahu walaupun menyedarinya. Seboleh-bolehnya, lelaki mahu si dia terang-terangan menunjukkan sikap menghargai mereka. Kalau setakat sikit-sikit atau sekadar kiasan, alamatnya mereka akan berpura-pura tidak menyedarinya. Apa salahnya sekali-sekala, tunjukkan sikap menghargai teman wanita terhadap apa yang cuba dilakukannya untuk anda seperti memberi hadiah kecil. Setidak-tidaknya, ucapkanlah terima kasih setiap kali dia cuba berbuat sesuatu untuk anda.

9. Meninggikan suara
Tahulah mereka dikurniakan suara yang ‘macho’ tetapi kalau nak meninggikan suara sekadar menunjukkan ego, tak eloklah. Ini antara kelemahan lelaki kerana mereka mudah meninggikan suara walaupun pasangannya tidak bersalah.

10. Penipu
Masalah yang ketara apabila lelaki suka menipu ataupun memberikan alasan yang tidak munasabah. Ada lelaki sanggup mungkir janji dan memberi pelbagai alasan seperti mempunyai masalah yang tidak dapat dielakkan, padahal sebenarnya mereka enggan mengotakan janji mereka sendiri. Ada juga yang sudah berpunya tetapi mengaku solo. Sifat menipu dan suka berdolak-dalih ini, lama kelamaan akan membuatkan wanita menjauhi anda.

Sumber koleksi-koleksi terbaiknazacomp@gmail.com
~

Wanita - Tulang Rusuk Yang Bengkok

  • Walaupun hakikatnya bahtera rumah tangga itu sepatutnya dikemudikan oleh si suami namun era kini menyaksikan lebih banyak wanita yang lebih sensitif mengekalkan kerukunan. Maknanya wanitalah yang lebih banyak bersabar, menelan pahit maung kekurangan pendapatan atau menghadapi kerenah suami yang kadang kala membosankan.
  • Wanita sepatutnya berbangga dengan kejayaan ini walaupun asalnya daripada tulang rusuk kiri lelaki yang bengkok. Nabi bersabda, wanita itu dicipta daripada tulang rusuk kiri lelaki yang bengkok, maknanya jika dibiarkan sikapnya yang tidak elok, maka begitulah ia kekal selama-lamanya. Lantaran itu andai si suami ingin memberi nasihat, hendaklah secara psikologi dan lemah lembut sehingga yang bengkok itu akan lurus.
  • Sebaliknya jika menggunakan kekerasan, maka tulang yang bengkok itu akan mudah patah atau pecah. Misalnya jika isteri pemarah, membebel dan cakap banyak, si suami anggap sahaja ia cubaan yang amat kecil. Allah berfirman, "Apa yang kamu tidak suka, itu adalah yang terbaik untuk kamu." Namun dengan perkembangan hari ini, nampaknya dunia sudah terbalik, si lelaki pula nampak gayanya banyak yang bengkok, selarnya.

~

Isnin, 30 Mac 2009

Isteri Cemerlang

7 TIPS PENTING UNTUK MENJADI ISTERI YANG CEMERLANG

  • "Suatu pagi, dalam rancangan kaunseling keluarga, di salah sebuah rangkaian radio: Ustaz.... Sudah bermacam cara yang saya buat. Tapi, hati dia masih tak tergerak lagi nak sembahyang. Kadang-kadang tu saya beli kaset dan buku, semata-mata nak ajak dia sembahyang bersama. Saya ni teringin sangat nak berjemaah dengan suami, macam kawan-kawan saya yang lain..."
  • Kes seperti yang disingkap tadi hanyalah salah satu daripada ribuan cebisan dan rempah ratus kehidupan manusia hari ini. Kisah yang benar-benar terjadi, yang perlu kita singkap segala hikmahnya. Sudah menjadi fitrah manusia mahukan kebaikan dan kasih sayang. Namun begitu terdapat juga segelintir wanita yang bergelar isteri tidak dapat mengecap nikmat bahagia di samping suaminya. Ramai wanita yang merintih dan mengadu sikap suami yang ingkar dengan perintah Allah dan sering melakukan perkara di luar batasan agama.
  • Bukan itu sahaja, malah ramai isteri yang buntu lantaran menjadi mangsa keadaan. Ada antara isteri yang dimaki-hamun dan dipukul hanya kerana memujuk suaminya agar taat kepada Allah. Adakah kita boleh menyalahkan takdir yang menjadikan wanita itu insan yang lemah sehingga mereka menerima nasib sedemikian rupa? Sama sekali tidak. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengupas permasalahan ini berpandukan syariat dan menghakiminya dengan adil.
  • Islam ada menyediakan garis panduan untuk umatnya yang menghadapi masalah sebegini. Masalah suami yang sudah hilang pedoman dan tersasar pegangan hidupnya. Bagaimanakah kita sebagai isteri mampu menyelesaikan masalah yang sebegini rumit? Berikut adalah beberapa tips dan panduan yang boleh kita ikuti dalam menangani masalah tersebut:

PERTAMA: INSAFI DIRI

1.Dalam hendak menegur suami, jangan sekali-kali merasa diri sudah baik atau lebih baik daripada suami.
2.Walaupun kita sudah boleh bersembahyang dan mengerjakan perintah Allah, tapi cubalah renungi diri kita kembali. Adakah selama ini kita begitu ikhlas dalam beribadah kepada Allah? Apakah ibadah kita sudah sempurna dan diterima Allah?
3.Mungkin juga selama ini, kita banyak melakukan perkara yang boleh merosakkan ibadah contohnya mengumpat dan mencela.
4.Kalau kita sentiasa mengenang kelemahan dan kekurangan diri, tentu kita tidak akan memandang hina kepada suami sehingga apabila kita menegurnya, teguran itu penuh dengan kelembutan dan hikmah. Suami tidak merasa `sakit' atau terhina dengan teguran itu.

KEDUA: BANYAKKAN BERSABAR
1.Kita juga seharusnya menerimanya sebagai satu dugaan daripada Allah. Allah mahu melatih dan mendidik hati kita agar sabar dalam kehidupan serta matang mengendalikan masalah.
2.Jangan kita terlalu gopoh serta hendakkan hasil yang cepat sehingga cara kita menegur pun seolah-olah mendesak serta mengajar suami.

KETIGA: BAIKI DIRI SENDIRI
1.Sentiasalah membaiki diri serta menghias diri dengan akhlak yang mulia seperti sabar, redha, berpada-pada dengan apa yang ada dan lain-lain.
2.Akhlak yang baik akan menambat hati suami lantas dia akan mudah mendengar nasihat yang kita berikan.

KEEMPAT: MELAYANINYA DENGAN BAIK
1.Walaupun derita yang dirasa, namun tugas sebagai isteri tidak boleh diabaikan. Kita wajib menghormati, melayani serta memuliakan suami.
2.Dosa yang dilakukan oleh suami adalah urusannya dengan Allah. Ia tidak menggugurkan kewajipan kita terhadapnya.
3.Justeru kalau kita pun tidak mahu melayaninya, konon sebagai protes terhadap keingkarannya itu, maka kita juga bersalah dan berdosa. Tentu suami akan berang, sudahlah kita tidak menunaikan tugas sebagai isteri, pandai-pandai pula hendak menegurnya. Sampai bila pun dia tidak akan mendengar nasihat kita.

KELIMA: MENEGUR DAN MEMUJUK DENGAN BERHIKMAH
1.Air yang menitik perlahan, mampu melekukkan batu yang pejal. Begitulah, perumpamaan yang begitu sesuai untuk kita.
2.Walaupun kita begitu sukar untuk menyedarkan suami kita, tetapi usaha itu perlu dilaksanakan secara perlahan-lahan dan berterusan. Dengan usaha yang sebegini, insya-Allah ia akan membuahkan hasil yang lebih baik dan berkesan.
3.Sebagai contoh, apabila suami kita jarang bersembahyang, maka biarlah kita yang menggantikan peranannya. Kita sendiri boleh menjadi imam kepada anak-anak kita ataupun membaca al-Quran bersama-sama mereka selepas menunaikan solat berjemaah. Secara tidak langsung, apabila seorang ayah melihat isteri dan anak-anaknya ikhlas beribadah kepada Allah, setidak-tidaknya dia akan berubah sedikit demi sedikit.
4.Selain itu, kita boleh membeli beberapa kaset, video panduan dan buku-buku agama yang berkisar tentang cara perlaksanaan solat dan ibadah-ibadah lain. Hadiahkanlah kepadanya pada hari istimewa seperti hari kelahirannya atau hari ulang tahun perkahwinan.
5.Kita juga boleh menulis surat sebagai bicara hati dengan menggunakan bahasa yang baik dan berhikmah. Semoga hatinya akan dapat menerima hidayah Allah di akhir nanti.

KEENAM: MEMINTA BANTUAN PIHAK KETIGA
1.Kebiasaannya, seseorang suami itu mempunyai rasa ego apabila kesalahannya ditegur oleh si isteri. Perkara ini mungkin membawa kepada perselisihan faham dan membawa perpecahan dalam keluarga.
2.Justeru itu, adalah lebih baik sekiranya kita meminta bantuan daripada pihak ketiga untuk menasihati suami. Mereka yang kita pilih mestilah dihormati juga oleh suami. Melalui mereka bolehlah kita mencurah rasa hati dan mengajak suami agar taat kepada Allah serta meninggalkan perkara yang dimurkai-Nya.
3.Mungkin mereka terdiri daripada ahli keluarganya, jiran, teman, ayah bondanya ataupun orang yang baik pengamalan agamanya. Semoga dengan nasihat daripada orang yang lebih dihormatinya itu akan memberi kesan yang mendalam di hatinya. Umpama tanah di lembah, ia akan subur apabila air hujan menyiraminya.

KETUJUH: BERDOA DAN TAWAKAL KEPADA ALLAH
1.Sebagai seorang mukmin, setiap perkara yang kita usahakan perlulah disertai dengan tawakal. Kita sewajarnya berdoa kepada Allah, agar dia melimpahkan hidayah kepada keluarga kita lebih-lebih lagi kepada suami.
2.Doakanlah juga semoga kita terus kekal hidup di landasan Islam yang sebenar. Semoga dengan doa yang berterusan, ia akan diperkenankan oleh Allah. Sesungguhnya, Allah tidak mempersia-siakan segala usaha dan doa hamba-Nya yang beriman. Allah ada berfirman: "Berdoalah kepada Aku, akan Kuperkenankan permintaan itu." Masalah yang kusut akan terlerai jika kena gaya dan caranya.
3.Apabila kita merasakan suami kita jauh daripada hidayah, maka kitalah yang berperanan besar untuk mengembalikan mereka ke jalan yang benar. Walaupun mereka telah tersasar jauh dari landasan syariat, usahlah kita berburuk sangka serta memandang rendah kepada mereka. Apatah lagi untuk putus harapan dengan Allah!
coretan asal


http://www.cyberibu.com./perkahwinan/kahwin033.htm
-

Penjagaan Rambut



  • Rambut yang sihat bukan sahaja mampu membuatkan anda tampil cantik, bahkan anda akan rasa hebat dengannya.TIDAK kira berapa pun usia anda, rambut adalah refleksi diri. Rambut yang sihat bukan sahaja mampu membuatkan anda tampil cantik, bahkan anda akan rasa hebat dengannya.

  • Jika rambut anda terlalu panjang sehingga mencecah punggung, tiada apa yang menarik dan kreatif boleh dibuat dengan rambut yang panjang itu.Rambut yang panjang tidak semestinya sihat. Kadang-kadang ia memerangkap minyak sehingga rambut kelihatan seperti dilumur minyak kelapa.

  • Kadangkala rambut panjang juga mudah rosak, ia juga cepat kering sehingga menyebabkan hujung rambut bercabang.Memiliki rambut panjang yang sihat belum tentu ia boleh dikekalkan berikutan faktor persekitaran, gaya hidup dan cuaca.
    Sekiranya seseorang bijak mengurus rambut panjang, maka mudah bagi mereka menggayakan rambut tersebut mengikut kesesuaian aktiviti harian mereka.

MENYIKAT rambut dengan sikat yang betul menyihatkan rambut.
Jika anda sudah kenali aspek penjagaan dari segi pengambilan makanan dan nutrien untuk rambut, berikut adalah tip yang boleh diikuti untuk menjaga rambut panjang.


  • Gunakan jari anda Sejurus bangun tidur, jangan menggunakan sikat rambut untuk menyikat rambut, sebaliknya gosokkan jari anda di kulit kepala dan uraikan helaian rambut untuk meleraikan rambut yang kusut dan berpintal. Penggunaan jari jemari memberi yang efek ke pada rambut dan mengurangkan pengguguran rambut.

  • Berus rambut selalu Ada yang risau menyikat rambut selalu kerana takut rambut akan gugur. Namun, memberus rambut selalu sebenarnya menyihatkan rambut. Apa ertinya mempunyai rambut panjang yang cantik kalau malas mengurusnya. Untuk mereka yang memiliki rambut panjang, dinasihatkan bahawa penggunaan berus rambut berbulu dengan permukaan bulat. Mulakan memberus dari bahagian atas kepala sehingga ke bawah. Kemudian berus dari bahagian rambut yang dalam pula. Selepas memberus, gunakan jari untuk memberi kesan yang lebih semula jadi.

  • Elakkan memberus rambut semasa ia basah. Sebaiknya, gunakan berus bergigi besar untuk menyikat secara lembut supaya tidak merosakkan akar-akar rambut. Ini kerana rambut yang basah mempunyai struktur rambut yang lemah maka ia akan gugur dengan mudah.

  • Usah lupa sikat rambut Kalau memberus rambut bertujuan untuk memperbaiki struktur rambut manakala menyikat rambut adalah untuk memperkemas dan menggayakan rambut. Bahagikan rambut pada beberapa bahagian yang kecil, dengan menggunakan sikat bergigi jarang, sikatlah rambut perlahan-lahan bermula dari atas ke bawah. Jangan menyikat rambut jika ia berpintal.

  • Keringkan rambut Rambut panjang perlu dikeringkan terlebih dahulu. Gunakan alat pengering rambut yang sesuai bila ia perlukan. Semasa ingin mengering rambut pilih pengering rambut yang boleh mengeluarkan suhu yang sejuk.

PILIHLAH syampu yang sesuai dengan rambut. Walaupun pengering rambut jenis ini berharga mahal, namun ia baik untuk rambut panjang. Pilih syampu yang menggunakan ramuan semula jadi. Pastikan syampu yang dipilih untuk mencuci rambut mempunyai perapi yang membantu memberi pelembapan pada rambut secara menyeluruh. Semasa mencuci rambut dengan syampu, ratakan sedikit syampu pada seluruh kepala dan bilas dengan air. Seterusnya, bilas dan syampu rambut untuk kali kedua. Ketika ini, urut kepala secara perlahan untuk menyihatkan akar-akar rambut.



Peka keadaan sekeliling Lindungi rambut daripada pendedahan berterusan pancaran matahari, air bergaram, air berklorin, angin dan pencemaran. Semua ini hanya membawa kepada kerosakan dan masalah rambut kusut. Kalau anda mahu, boleh mengenakan tudung untuk melindungi rambut panjang daripada persekitaran yang tercemar. Penggunaan topi dan skaf turut digalakkan untuk mengekalkan kesihatan rambut.



Oleh JAGATHESWARY NARAYANANn.jagatheswary@kosmo.com.my

~